Friday 10 June 2011

Anugerah (Babak 22)

Macam tu ja tiba-tiba, depa berbaik semula. Siti sempat huloq tangan bersalam dengan Din sambil mencium tangan suaminya meminta ampun dan maaf kerana lari balik loi lagu tu saja dan mungkin jugak banyak silap dan salah dari pihak Siti. Din....? Din....? Relax ja dia, dengan penuh bangga di usap-usap rambut Siti sambil menyebut dia maafkan Siti. Sikit pon tak beghasa besalah. Tak sepatah perkataan maaf pon kluaq dari mulut Din...EGO...yang amat-amat. Siti malaih nak kata apa, janji Din dah balik mai. Dah bersatu dah depa laki bini. Tak lama lagi dia pon nak beranak. Biaq la...tutup buku lama, bukak buku bharu.

Sejak dari hari tu semuanya dah berubah serba sikit. Din pon dah boleh terima dah, hakikat yang dia nak jadik bapak. Dah pandai jugak la manjakan bini dia yang mengandung. Mau gak la pi hujung kampung chari buah kriang...gara-gara Siti mengidam. Bawak Siti pi beli barang-barang budak. Din dah kembali macam biasa macam dulu...macam yang Siti kenai Din. Walaupun dah nak masuk 7 bulan mungkin agak terlewat...mungkin luka agak berbekaih...kurang-kurang Siti merhasa gak la macam dalam drama tu. Laki pakat dok usap perut bini mengandung. Cuma jauh di sudut hati Siti...takut gak lagu mana nanti anak dia nie esok. Tak kecik ayat yang Din sebut menyumpah anak nie...apa Din tak kata...semua habih dia sebut. Siti keja dok berendam ayaq mata ja la...sepanjang tempoh 6 bulan pertama mengandung. Harap-harap lepaih ni tak dak lagi dah la. Tak larat nak lalui dah. Jiwa ibu mengandung mempengaruhi anak dalam kandungan...itu yang paling Siti takuti.

Siti ingat lagi...pagi tu bulan puasa. Lepaih makan soq...mak Siti ajak Siti buat kuih raya almaklumlah raya dah nak dekat. Tart jem nanaih. Jem dia mak Siti dah buat malam sebelum. Memang dari dulu Siti selalu tolong mak dia buat kuih raya. Tak pernah depa beli. Adik-adik yang lain siap-siap nak pi sekolah. Sambil dok buat tart jem sambil dok sembang. Tiba-tiba Siti rhasa tak selesa. Sakit perut memulaih. Berdiri tak kena duduk salah. Mak Siti taw masa dah sampai. teruih dia jerang ayaq buat buat teh susu...biaq bagi sejuk sikit campoq teloq sebiji dengan minyak masak secamca. Dia suh Siti minum.

La nie masalah nak pi hospital plak lagu mana. Bapak Siti keja. Din pon keja shift. Siti beria-ria pesan kat mak dia...jangan sekali -kali panggil ambulan. Tak mau la dia...nanti satu kampung taw dia nak pi beranak. Malu la. Biasa la, mokalu ambulan masuk kampung ja...orang kampung pakat kerumun nak taw apa jadi...apa cherita...sapa luka sapa cedera. Nasib baik Pak Lang teksi sapu sebelah ghumah tu baru balik dari mesjid...selamat la Siti tak payah naik ambulan.

Ya ! Allah, sakit nak bersalin bukan main lagi rhasa macam nyawa nak melayang. Sakit yang teramat tak tau nak habaq lagu mana. Mau relaih...sendi-sendi. Selepas 25 jam bertarung sakit dari pukoi 4 pagi malam tu sampai pukoi 5 pagi hari berikutnya...Siti selamat melahirkan seorang bayi perempuan berat 3.94 kg...kulit merah putih gebu...rambut lebat. Menangeh pon bunyi pelan sangat. Anak sulung Siti dengan Din perempuan.

"Encik Awalludin...siapa Encik Awalludin? Sora misi memecah keheningan subuh tu..."Encik Awalludin, suami pada Puan Siti Hajar di manakah anda" keloloh jugak misi veteren nie. Din dengaq nama dia dan Siti di sebut-sebut.

"Tahniah Encik Awalludin, awak mendapat bayi perempuan." kata misi sambil menyerahkan bayi yang dia kendong. "Tau tak nak pegang lagu mana? " tanya misi.

Din teragak-agak seriau gak tapi dia gagah jugak. Dia amik bayi tu...berhati -hati. Di tenung nya budak tu lama...macam tak percaya itu anak dia...anak dia dengan Siti. Tetiba...Din menangeh terisak-isak macam budak-budak tak dapat cokelat...

No comments:

Post a Comment